Diriwayatkan dari Amirul mukminin Abu Hafsh Umar bin Khattab Radhiyallahu 'anhu, ia berkata: aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam bersabda:
"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia akan perolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ia hijrahkan kepadanya."
Keterangan: Imam Ahmad dan Asy Syafi'i berkata : Hadis ini merupakan sepertiga ilmu kerana seorang hamba itu akan mendapat pahala berkat daripada perbuatan hati, lisan dan anggota badannya dan niat itu dilakukan dalam hati yang merupakan salah satu di antara yang tiga tersebut.
Oleh sebab itu hadis ini adalah untuk memberi peringatan kepada pencari ilmu khususnya agar meluruskan niatnya dengan hanya mencari keredhaan Allah dan mengamalkan kebaikan.