Sila Tinggakan Jejak Di Sini

Thursday, October 1, 2009

Marhaban Ya Syawal

Marhaban Ya Syawal

Ramadhan sudah meninggalkan kita. Syawal pula menjelma. Apakah kedatangan Syawal yang ditunggu-tunggu oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia ini membawa sinar kejayaan kepada mereka yang telah berpuasa di bulan Ramadhan Karim?

Persoalan ini semestinya kita jawab dengan hati yang ikhlas kerana diri kita, kita sendiri yang mengetahuinya. Apakah kita sudah berpuasa mengikut kehendak syariat islam dengan sesungguhnya atau hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja? Apakah kita sudah mendapat didikan yang sempurna di dalam madrasah Ramadhan yang lalu? Apakah kita kini masih lagi lalai dan leka dalam menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah swt.

Bulan Syawal ialah bulan kemenangan di atas pengorbanan kita umat Islam dalam menahan lapar dan dahaga. Di dalamnya amat banyak sekali pengajaran yang dapat kita pelajari antaranya:

1. Muhasabah diri
Kita dapat muhasabah diri kita sendiri apakah di dalam bulan Syawal ini kita telah mengikut syariat Islam yang sebenarnya atau masih lagi melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam.

2. Menahan hawa nafsu
Berusahalah untuk tetap dapat menahan segala hawa nafsu yang dapat kita tahan semasa di dalam bulan Ramadhan yang lalu. Jadikan bulan Syawal ini sebagai permulaan segala didikan positif yang kita perolehi di bulan Ramadhan.

3. Anjakan paradigma
Di bulan kemenangan ini sepatutnya kita umat Islam dapat merubah kehidupan kita dari segala segi, negatif kepada positif. Merubah kehidupan kita menjadi lebih baik bukan di mata manusia tetapi di sisi Allah swt.

4. Silaturrahim
Menghubungkan silaturrahim sesama kita setelah kita dapat menundukkan segala nafsu yang selama ini menguasai jiwa sanubari hasil dari didikan madrasah Ramadhan yang mulia. Pertahankanlah silaturrahim yang telah kita bina sehingga ke akhir hayat, kerana kata Nabi saw. sesiapa yang menghubungkan silaturrahim umurnya panjang.

5. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
Berusahalah mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran yang sering kita dengar hampir setiap hari di dalam tazkirah samaada di masjid-masjid, surau-surau atau di media massa sewaktu di bulan Ramadhan.


6. Solat berjemaah
Dalam bulan Ramadhan kita boleh bersolat secara berjemaah berbanding bulan-bulan yang lain. Pertahankanlah solat berjemaah tersebut. Sebagaimana kata nabi bahawa solat berjemaah itu lebih besar pahalanya sebanyak 27 kali ganda jika dibandingkan solat secara sendirian. Nabi saw. juga pernah mengancam akan membakar rumah orang-orang yang tidak menunaikan solat berjemaah di masjid. Selain solat berjemaah kewajipan kita adalah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Janganlah hanya di dalam bulan Ramadhan sahaja kita menunaikan solat 5 waktu. Apabila berakhirnya bulan Ramadhan maka berakhirlah juga solat 5 waktu kita.

7. Mengimarahkan masjid
Dalam bulan Ramadhan masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi orang. Apabila tiba waktu zohor mereka yang bekerja boleh meluangkan masa bersolat berjemaah di masjid dan ada sebahagaian masjid yang membuat tazkirah selepas solat zohor. Begitu juga ramai di kalangan kita dapat menunaikan solat isyak secara berjemaah di masjid atau surau, kerana selepas itu kita akan menunaikan solat tarawikh yang tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain.

Justeru, pastikan segala amalan yang kita lakukan pada bulan Ramadhan yang lalu tetap berlaku di dalam bulan Syawal ini dan di bulan-bulan seterusnya, kerana Allah swt akan memberikan ganjaran yang sebaik-baiknya kepada mereka yang ikhlas dalam beramal hanya kerana-Nya. Wallahu’alam

No comments:

Post a Comment