Sila Tinggakan Jejak Di Sini

Tuesday, November 16, 2010

Ikhlas


"Mari aku ajarkan kamu tentang ikhlas", kata seorang guru kepada muridnya. "Nanti saya ambilkan buku dan pen untuk menulisnya," "Tak payah, bawa sahaja karung guni." "Karung guni?" Soal anak muridnya, seperti tidak percaya, "Mari kita ke pasar."
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu. "Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu." Kata sang guru memberi arahan. Tanpa banyak soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan. "Cukup?" "Belum, isi sampai penuh karung guni itu."
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar. "Tuan guru, kita tidak membeli apa-apa?"
"Tidak. Bukankah karung gunimu ini tekah penuh?" "Ya..ya.."kata si murid agak kelelahan.
"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan berat itu. "Wah ... tentu mereka berdua ini orang kaya; banyak sungguh barang yang mereka beli." Kata seseorang. "Agaknya mereka hendak buat kenduri besar." Kata yang lain pula.
Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang berisi batu tadi.
Oh letihnya ... "Apa yang kita nak buat dengan batu-batu ini tuan guru?" "Tak buat apa-apa." "Eh, kalau begitu letih sahajalah saya." keluh si anak murid.
"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar ilmu tentang keikhlasan." "Ikhlas?" Balas si murid kehairanan. "Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal. Batu-batu ini umpana amalan orang yang riya'. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu-batu." "Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini." "Ya, hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Apa yang kamu dapat hanya penat." "Ya sekarang saya faham apa akibatnya jika beramal tetapi tidak ikhlas." Ujar si murid.

Note: Ramai antara kita yang tertipu dalam beramal, hubungan baik sesama manusia atau semasa menjalankan tugas harian kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan BERMUKA-MUKA. Maka Rugi benarlah orang yang tidak ikhlas. TERSEKSA DUNIA, TERSEKSA AKHIRAT.

No comments:

Post a Comment