Sila Tinggakan Jejak Di Sini

Wednesday, January 27, 2010

Zikir serta doa qunut bukan satu perbuatan bidaah

Berzikir secara berjemaah selepas solat di masjid bukan satu perbuatan bidaah dan begitu juga membaca doa qunut ketika solat Subuh.

Pensyarah Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Asmadi Muhammad Na'im berkata, menziarah makam Rasulullah di masjid Nabawi di Madinah pun bukan tergolong dalam amalan bidaah.

Selain itu beliau berkata, umat Islam turut dibenarkan bertawassul dengan Rasulullah secara umum sama ada ketika hidup atau selepas kewafatan baginda.

''Semuanya ini terkandung di dalam kitab al-Bida' al-Munkarah atau bidaah dilarang yang dihasilkan oleh ulama terkemuka, Prof. Dr. Whabah Zuhaily.

"Wahbah di dalam kitabnya itu turut menyatakan jenazah mendapat faedah daripada bacaan orang lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk Wacana Religio-Intelektual Najdiyyin: Pro & Kontra Terhadap Peranannya pada Tamadun Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai zikir selepas solat berjemaah di masjid, Asmadi berkata, berdasarkan pandangan Whahbah, zikir yang dibaca hendaklah dalam keadaan tidak mendatangkan kekacauan.

"Berhubung amalan menziarah makam Rasulullah, ia tidak boleh dikatakan bidaah. Jumhur ulama membenarkannya kecuali ibn. Taimiyyah,'' katanya.

Dalam kertas kerjanya, beliau juga meminta semua masyarakat Islam berpegang kepada huraian Imam Abdul al-Qahir Tahir al-Baghdadi mengenai siapakah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Mereka terdiri daripada golongan yang menguasai ilmu khusus dalam bab Tauhid iaitu yang bebas daripada fahaman tasybih (menyamakan sifat Allah dengan makhluk) serta ta'til (menafikan sifat-sifat Allah sejak azali).

''Mereka juga terdiri daripada imam-imam fiqh serta golongan yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah Rasulullah,'' katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia - 25/1/2010

Demikianlah tuan-tuan sekelian, sebenarnya apa yang kita amalkan sekarang ini sebenarnya tidak salah. Maka berhati-hatilah terhadap mereka yang kononnya membawa pembaharuan yang pada hakikatnya tidak.