Sila Tinggakan Jejak Di Sini

Wednesday, February 10, 2010

Keberkatan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat


9 Feb 2010 Setahun dah anakku..
Muhammad Rayyan Ilmi ...


Masa berlalu begitu pantas sekali, anak mili yang bongsu sudah berumur 1 tahun pada 9 Februari 2010 ini. Dah pun mula berjalan walaupun masih terhoyong hayang. Dan sebaik-baiknya anak itu ’dibelah mulut’ dan didoakan oleh orang alim lagi berilmu. Maka mili pun berazam supaya dapat berjumpa dengan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA) Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Anak pertama dan kedua tidak berkesempatan berjumpa dengan TGNA, tiada rezeki. Mereka’dibelah mulut’ dan didoakan oleh ustaz-ustaz biasa saja.
Ada beberapa kejadian aneh yang ingin mili kongsikan dengan sahabat-sahabat sekelian iaitu pengalaman berjumpa dengan TGNA. Mili, isteri dan anak sampai di masjid Pulau Melaka sekitar jam 5.15 pagi. Kami tiga beranak saja, memang tawakkal habis, mudah-mudahan dapat berjumpa dengan TGNA. Umum mengetahui bahawa TGNA amat sibuk kadang-kadang keluar daerah, maklumlah Menteri Besar.
Sedikit demi sedikit masjid Pulau Melaka mulai didatangi jemaah untuk bersolat subuh. Hampir jam 6.00 pagi azan subuh pun berkumandanglah. Mili bertanya kepada seorang jemaah yang agak berumur bahawa mili berhajat membawa anak mili untuk bertemu dengan TGNA dan bagaimanakah caranya. Dia tanya.. ”maghi dari mano..? Mili jawab .. ”dari Penang.. ” ”Jauhnyo...?” Katanya, insyaallah pagi ni TGNA ada.
Tak berapa lama kemudian mili terlihat susuk tubuh TGNA masuk ke masjid dan solat sunat subuh. Alhamdulillah mudah-mudahan dapat mili berjumpa dengan TGNA dan menyampaikan hajat mili. Jemaah tu kata, selepas solat subuh TGNA akan memberi kuliah. ”Waktu tu demo buleh bawak anak tu dale masjid doh” katanya dengan loghat kelantan. Mili jawab, ”nanti anak kecik ni menangis atau menjerit ke, kan boleh mengganggu jemaah takut tak selesa, apalagi TGNA tengah dok bagi kuliah”. Jemaah tu jawab... ”Takpo, sini budok kecik tok jeghit”....”Betul ke pokcik,” Mili tanya.. ”Betuull..” jawab pakcik tu..

Walaupun mili masih ragu2, mili ikutkan juga kata-kata pakcik tu. Selesai solat subuh, berzikir dan berdoa... Memang benar TGNA terus memberi kuliah dalam keadaan kaki tidak berubah iaitu duduk dalam keadaan tahiyat akhir. Artinya TGNA tetap mengadap kiblat. (Sahabat sekelian, jika kita masih duduk tidak berubah dalam keadaan tahiyat akhir selepas selesai solat, maka selama itulah malaikat akan mendoakan supaya Allah swt mengampunkan dosa kita. Maka janganlah terus kita bangun selepas selesai solat fardhu..).

Kemudian, mili pun bergegas ke kereta dan mengambil anak dari pangkuan isteri dan bawanya masuk ke dalam masjid. Sewaktu di dalam masjid, memang benar anak mili tidak mengeluarkan bunyi sedikitpun, ... menjerit atau menangis jauh sekali. Kelihatannya waktu itu seperti dia berada dalam keadaan yang amat selesa, sambil mata sesekali memandang sekeliling. Mili agak hairan sedikit.
Memandangkan mili hanya datang tiga beranak saja ... dan perempuan tidak dibenarkan untuk turut serta dalam ’upacara’ tersebut. Pakcik tu menawarkan diri untuk mambantu mili membawa beg yang berisi gunting, kurma, kismis, air zam-zam dll yang dibekalkan oleh ibu mertua mili. Hampir jam 7.00 pagi TGNA selesai memberi kuliah subuh. Pakcik tu terus mengajak mili ke depan untuk bertemu dengan TGNA. Sampai di depan TGNA, terus pembantu TGNA mengambil beg yang dipegang pakcik tu dan mengeluarkan satu persatu barangan dari dalam beg dan menyusunnya di depan TGNA.
Kemudian TGNA mengambil anak dari pangkuan mili dan mengusap kepala, kurma dilenyek-lenyekkan dengan air zam-zam dan TGNA memasukkannya ke dalam mulut anak mili. Perlahan-lahan anak mili boleh telan kurma tu. Budak kecik macam ni pun boleh telan kurma? Banyak tu.. bukan sikit ... kalau setahun 2 boleh la kita bagi makan, ini ... umur sebulan pun tak sampai lagi ... Mili makin hairan ...
Akhir sekali, TGNA mendoakan anak mili dan jemaah sekeliling pun mengaminkan. TGNA pun menyerahkan anak kepada mili dan mili pun mengucapkan terima kasih sambil bersalam cium tangan TGNA. Alhamdulillah, sampai juga hajat mili.
Sebaik sahaja mili bangun dan toleh ke belakang untuk pulang .... rupa-rupanya telah berderet bapa-bapa yang mengendong anak masing-masing sambil duduk menunggu giliran untuk mengambil berkat Tok Guru. Mili tak sedar bilakah mereka semua beratur di belakang mili kerana senyap sunyi....
Inilah kemuncak kehairanan mili, kerana sepanjang proses itu tidak sepatah pun bayi-bayi di dalam masjid itu mengeluarkan suara, apalagi menangis atau menjerit. Semuanya diam, hanya mata mereka saja yang sesekali pejam celik dan melihat sekeliling.










Sahabatku sekelian, cuba lihat di klinik-klinik atau hospital atau pasaraya... amat jarang sekali bayi yang begitu ramai dapat duduk diam serentak di atas ribaan bapa masing-masing dan bukannya atas ribaan para ibu.
Inilah yang dikatakan berkat Tok Guru... sesungguhnya orang-orang alim lagi berilmu itu mempunyai kelebihan dan keberkatan. Maka sesiapa yang berdampingan dengan mereka pasti sedikit sebanyak akan mendapat tempias keberkatan hidup..
Rasulullah S.A.W. menggalakkan umat Islam supaya sentiasa mendampingi orang-orang alim kerana berdampingan dengan mereka dapat menambahkan lagi keimanan dan ketakwaan serta mendapat keberkatan dan syafaat orang alim di akhirat kelak. Maksud sebuah hadis yang mengatakan bahawa ”sesiapa yang berdampingan dengan orang alim diumpamakan seperti duduk berhampiran dengan penjual minyak wangi, walaupun tidak mendapat minyaknya sekurang-kurangnya ia akan juga terhidu bau wangian daripada penjual tersebut, sebaliknya jika dia berdampingan dengan tukang besi sekurang-kurangnya ia akan mendapat bau busuknya atau mendapat percikan api tersebut”..
Hebat sungguh..
Justeru, mili ingin mengingatkan kepada sahabat sekelian termasuk diri mili yang hina supaya jangan kita memandang rendah kepada orang-orang yang berilmu apalagi mencerca atau memaki hamun golongan ulama... kerana mereka adalah pewaris para nabi.
Allah swt. Berfirman dalam surah Al Mujaadilah ayat 11.. yang bermaksud ”... Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan kepada beberapa derajat... ” Semoga anak-anakku menjadi ulama yang diredhai Allah swt. Allahu Akbar !!!
Note: Terima kasih kepada pakcik yang tolong bawa beg mili tu...

No comments:

Post a Comment